LANGKAWI – Operasi pencarian anggota badan lain Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang diteruskan hari ini di Gunung Raya di sini berjaya menemui dua batang gigi dan gumpalan rambut dipercayai milik kanak-kanak terbabit.
Bahagian badan tersebut dijumpai anggota polis dibantu khidmat unit anjing pengesan (K9) dan anggota bomba kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, operasi pencarian oleh 31 anggota polis dan bomba bermula pada pukul 9 pagi tadi dan berakhir empat jam kemudian.
“Selepas dua jam operasi, kita berjaya menemui dua batang gigi dan dua gumpalan rambut di dua lokasi berbeza berhampiran tempat tengkorak kepala dan cebisan rambut yang ditemui semalam,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Gunung Raya di sini, hari ini.
Kata beliau, bahagian badan itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.
“Proses bedah siasat akan diteruskan walaupun mayat dipercayai milik kanak-kanak itu tidak lengkap kerana hanya itu pilihan yang ada,” ujarnya.
Mengulas mengenai operasi pencarian, menurut Mohd. Iqbal, ia akan dilakukan lagi sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.
“Polis dengan bantuan anggota bomba telah meluaskan radius pencarian kepada 500 meter dengan kecuraman kawasan gaung 45 darjah,” ujarnya.
Katanya, anggota badan lain Nur Aisyah Aleya dipercayai telah dimakan atau dilarikan haiwan liar seperti monyet dan biawak.
Beliau pada masa sama berkata, lima anak suspek telah diambil keterangan di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Setakat ini kita sudah memanggil lapan saksi termasuk kakitangan Hospital Langkawi (HL) untuk dirakamkan percakapan,” ujarnya.
Tambahnya, ibu kandung kanak-kanak, Rosmaliah Samo, 32, juga akan diminta memberikan sampel darah bagi melakukan ujian padanan asid deosiribonukleik (DNA) di HL hari ini. – K! ONLINE