LANGKAWI – Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak menyangka penerbangan mereka selama empat jam 12 minit bersama Hawk 208 telah memecah rekod sebagai penerbangan terlama melibatkan pesawat pejuang buatan British itu.
Mejar Zulkifli Mohamad, 38, dan Mejar Fairul Mohd. Rustham, 33, dari Skuadron 6 TUDM ketika itu diarahkan untuk menjalankan satu misi operasi di Laut China Selatan pada 16 Ogos 2014.
Penerbangan tanpa henti termasuk terpaksa mengisi minyak di udara itu telah mengenepikan rekod tiga jam 56 minit yang sebelum ini dipegang juruterbang tentera udara United Kingdom, John Hurrell selama 26 tahun.
Mengimbas kembali penugasan tersebut, Zulkifli yang membawa Hawk sejak 11 tahun lalu berkata, beliau dan Fairul yang bertugas pada hari itu hanya diberi masa 30 minit untuk bersedia sebelum berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan.
“Kami tidak mengetahui apa misi pada hari tersebut dan hanya diarahkan terbang ke lokasi untuk penugasan itu. Rekod baharu ini lebih mencabar kerana tiada dalam perancangan awal berbanding tempoh penerbangan dilakukan Hurrell yang memang diketahuinya.
“Pengiktirafan yang diterima ini juga lebih bermakna apabila ia datang sempena sambutan 25 tahun pesawat Hawk 208 di Malaysia pada 2 Mac lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA ’19), di sini hari ini.
Pengiktirafan kepada kedua-dua juruterbang itu disampaikan oleh Penasihat Kanan Tentera BAE Systems, Andrew Pulford sambil disaksikan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Sementara itu, ujar Fairul, pengiktirafan tersebut tidak dianggap sebagai kelebihan buatnya kerana semua juruterbang TUDM perlu bersedia untuk melakukan misi serupa pada bila-bila masa.
“Sebenarnya, kami tidak dilatih untuk terbang lama dalam pesawat pejuang, kebiasaannya kami terbang antara satu jam ke satu jam setengah tanpa mengisi minyak di udara tapi pada hari itu kami terpaksa pergi lebih jauh daripada had dan Alhamdulillah kami mampu meneruskannya.
“Andai kata kami tidak mampu (terbang selama tempoh itu) maknanya kami tidak bersedia sebagai juruterbang TUDM untuk menjaga kedaulatan ruang angkasa negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE