KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara di sini.
Seri Paduka Baginda yang tiba kira-kira pukul 1.20 tengah hari menyertai jemaah mendengar khutbah bertajuk ‘Menyingkap Keagungan Allah’, disampaikan Ketua Imam masjid itu, Mohammad Akmal Abdul Aziz.
Dalam khutbah itu, Mohammad Akmal berkata, Islam mementingkan penguasaan ilmu pengetahuan termasuk ilmu falak yang merupakan salah satu manifestasi pencapaian keagungan ilmu dalam tamadun Islam.
Beliau berkata, masyarakat umumnya hanya memahami ilmu falak berkaitan dengan detik melihat anak bulan untuk mengesahkan kedatangan Ramadan dan Syawal, namun peranan ilmu itu adalah lebih luas kerana turut menyediakan alamat, petanda dan petunjuk bagi menghadapi fenomena alam yang sentiasa berubah-ubah.
Khutbah itu juga menarik perhatian berhubung isu sama ada bumi itu datar atau berbentuk sfera yang telah diungkit kembali dan diketengahkan kepada masyarakat dengan tidak didasari bukti kukuh.
“Meskipun isu ini zahirnya tidak melibatkan perkara usul dalam agama, namun dari sudut yang lain, ia telah menidakkan keilmuan ulama silam dan menafikan penemuan para saintis yang kesemua mereka ini telah mengemukakan dalil dan bukti yang kukuh,” katanya.
Selesai solat, Al-Sultan Abdullah berkenaan bersalam-salaman dengan jemaah yang hadir.