BANGKOK – Seorang bapa bergelar jutawan di sini menawarkan ganjaran sebanyak 10 juta baht (RM1.3 juta) kepada mana-mana lelaki yang sanggup mengahwini anak gadisnya tetapi bakal menantu itu perlu menepati tiga syarat utama, demikian menurut akhbar Mirror baru-baru ini.
Arnon Rodthong, 58, kecewa kerana anaknya, Karnsita, 26, masih belum berkahwin. Buat masa ini, gadis itu membantu mengusahakan perniagaan keluarga di wilayah Chumphon, selatan Thailand.
Dia turut mengecualikan bayaran hantaran kahwin oleh bakal suami Karnsita. Gadis itu merupakan seorang graduan universiti yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan Cina.
Lelaki itu juga menyatakan kesanggupan memberi wang 10 juta baht kepada bakal menantu dan mereka juga akan menerima pegangan dalam bisnes ladang durian yang dianggarkan bernilai beberapa juta dolar Amerika Syarikat.
Rodthong menyatakan dia tidak mempunyai apa-apa sekatan terhadap jenis kerakyatan calon menantu itu. Bagaimanapun, tiga syarat yang dikenakan oleh jutawan itu adalah: “Dia tidak perlu jadi orang pandai, cuma perlu tahu membaca dan menulis. Tolong jangan bawa ijazah kamu ke rumah.”
“Dia juga perlu jadi seorang yang kuat bekerja dan bukannya malas. Selain itu, calon juga perlu bersikap kedekut berhubung soal duit dan gemarkan durian.”
Rodthong memiliki ladang durian besar yang berupaya mendatangkan hasil kira-kira 50 tan sehari. Ladang itu adalah paling besar di wilayah Thailand.
“Saya mahu seseorang yang boleh menjaga perniagaan dan mengekalkannya. Saya tidak mahu seseorang dengan ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah. Saya mahu lelaki tekun. Saya cuma mahukan seseorang dengan sikap kuat bekerja. Itu sahaja.
“Sebaik sahaja ada anak menantu, saya akan serahkan semua aset saya kepadanya,” katanya yang beragama Buddha serta memiliki beberapa hartanah di wilayah sama.
Bagaimanapun, Karnsita memberi bayangan bahawa bakal kekasihnya itu mungkin berdepan kesukaran mengaut wang daripada bapanya kerana dia mahu ‘menggunakan duit itu untuk diri sendiri bagi menjalani pembedahan plastik di Korea. – Agensi