KERAJAAN negeri membenarkan semua penduduk yang diusir dari rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di Georgetown, kembali mendiami kediaman masing-masing.
EXCO Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, mereka bagaimanapun hanya dibenarkan mendiami unit berkenaan selama tiga hari, berkuat kuasa hari ini.
Katanya, keputusan berkenaan dimuktamadkan selepas mengadakan perbincangan bersama EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo dan Pejabat Perumahan kerajaan negeri.
“Kita masih belum ada keputusan sama ada mereka perlu keluar semula daripada unit masing-masing selepas tempoh kebenaran tamat, iaitu pada Ahad ini.
“Pada masa sama, kita sedang berbincang mengenai pelan tindakan lanjut yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini,” katanya kepada pemberita di Georgetown, hari ini.
Sebanyak enam keluarga membabitkan hampir 40 isi rumah diusir dari kediaman masing-masing di PPR Taman Manggis di sini, dan berteduh di KOMTAR, sejak jam 12 tengah malam kelmarin.
Semua berteduh di perkarangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri selepas hilang tempat berlindung, selain ada yang menumpang di surau ekoran arahan pengusiran dikeluarkan Kerajaan Pulau Pinang. – myMetro Online