KETUA Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, mendakwa gambar cek dan nombor akaun yang viral kelmarin sebenarnya tidak wujud.
Dalam status Facebook beliau, Nasrudin berkata gambar cek dan nombor akaun RM1.4 juta yang menjadi viral itu adalah untuk memfitnah PAS.
“Ada kawan-kawan cek nombor akaun yang viral itu dengan cuba ‘transfer’ (pindahkan) duit RM5 dan RM1, ternyata akaun itu tidak wujud,” katanya.
Nasrudin turut berkongsi nombor akaun bank sebenar PAS dalam paparan Facebook beliau.
“Beginilah, cuba ‘try test’ hantar RM5 atau RM10 atau RM100 ke akaun ini. Insyaallah mesti lepas punya. Ini akaun yang ori (sah). Kalau kawan-kawan nak masuk lebih pun dialu-alukan. Tidak perlu was-was, memang masuk dan Insya Allah dapat pahala infaq ke jamaah Islam,” katanya.
Sementara itu, portal Malaysiakini melaporkan, peguam Americk Sidhu mengesahkan nombor akaun pada cek RM1.4 juta yang diterima anak guamnya, editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, sebagai yang sahih.
Beliau tampil membuat pengesahan itu selepas Nasrudin mendakwa nombor akaun pada cek bayaran itu sebagai palsu.
“Saya boleh sahkan cek ini sudah dijelaskan melalui akuan Maybank anak guam saya, yang bermakna cek ini asli atau bank yang luluskan itu buat kesilapan besar,” katanya.
Americk, yang juga penama dalam cek berkenaan, berkata cek itu ditulis di hadapannya, namun enggan mendedahkan pemegang akaun penulis cek itu. – BH Online