SHAH ALAM – Balu dan dua remaja yang didakwa membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan, 46, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi di sini tadi.
Tertuduh, Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja masing-masing berusia 13 dan 16 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.
Prosiding sebutan semula kes itu tadi dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dan Mohd. Zain Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, mereka dengan seorang lagi yang masih bebas iaitu Eka Wahyu Lestari warga Indonesia dengan mencapai niat bersama melakukan pembunuhan ke atas Nazrin pukul 11.30 malam, 13 Jun dan 4 pagi 14 Jun tahun lalu.
Samirah diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Tania Scivetti.
Dua remaja itu pula diwakili LS Leonard, Salim Bashir dan Hisyam Teh Poh Teik manakala S. Selvi mewakili seorang lagi tertuduh warga Indonesia yang masih bebas.
Terdahulu, semua tertuduh tiba di mahkamah pukul 8.30 pagi tadi.
Mahkamah menetapkan 11 April sebagai pengurusan kes. – K ONLINE!