PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila DAP dilabel sebagai parti perkauman dan anti-Islam.
Tuduhan berkenaan dibuat ahli Parlimen Pengkalan Chepa daripada PAS, Ahmad Marzuk Shaary sehingga membangkitkan kemarahan penyokong-penyokong kerajaan.
Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) bangkit tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Ahmad Marzuk dan meminta supaya kenyataan itu ditarik balik.
“Tuan Yang Dipertua, isunya Pengkalan Chepa melemparkan tohmahan kepada DAP menyatakan DAP anti-Islam. Itu sama sekali tidak benar.
“Jangan kelirukan Dewan, awak boleh lakukan lebih baik daripada ini. DAP bukan parti yang anti-Islam dan parti rasis. Adakah Pengkalan Chepa akan menarik balik tohmahan terhadap parti DAP?” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu mencelah sesi perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Selasa.
Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera ) juga bangun mencelah dan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Ahmad Marzuk sebagai satu fitnah yang sangat jahat.
“Pengkalan Chepa tidak layak sebagai wakil rakyat,” ujarnya.
Berikutan kekecohan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon meminta ahli Parlimen Batu Kawan dan Bukit Bendera merujuk hansard terlebih dahulu untuk meredakan keadaan.
“Saya minta penjelasan dari Pengkalan Chepa. Saya minta rujuk kepada hansard,” jelasnya.
Ahmad Marzuk bagaimanapun bangun dan menjelaskan pendiriannya yang tidak akan menarik balik kenyataannya bahawa DAP anti-Islam.
“DAP memang anti-Islam, tidak suka kepada Islam. Memang itu kerja DAP,” tegasnya. – Agenda News