KUALA LUMPUR – Peneroka Felda diharap dapat terus bersabar walaupun berhadapan situasi penurunan bayaran pinjaman sara hidup daripada RM1,500 sebelum ini kepada RM1,000.
Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar juga berharap peneroka memahami masalah kedudukan kewangan dan aliran tunai yang dihadapi agensi berkenaan sehingga tidak dapat menunaikan bayaran berjumlah RM1,500 itu.
Namun begitu, Othman memberi jaminan Felda sedang berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang sedang melanda.
Othman malah mengatakan keputusan bagi menurunkan jumlah bayaran itu telah pun dipersetujui Jawatankuasa Perunding Peneroka (Jkkp) dengan pengurusan tertinggi Felda baru-baru ini.
“Buat masa sekarang, kita sedang menghadapi masalah aliran tunai dan pengurusan tertinggi membuat keputusan untuk membayar hutang kontraktor yang tertunggak dahulu kerana jika berterusan (tidak dibayar), peneroka menghadapi masalah untuk mendapatkan hasil.
“Kita bukan tidak mahu bayar tetapi menghadapi masalah aliran kewangan. Lagi pun dalam perjanjian terbaharu mengenai pinjaman sara hidup itu, terdapat klausa yang mengatakan Felda boleh menurunkan bayaran sekiranya menghadapi masalah,” katanya.
Beliau mengulas gesaan Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman supaya pengurusan tertinggi Felda menarik balik pekeliling berhubung penurunan bayaran pinjaman sara hidup yang didakwa bercanggah dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH).
Ditanya sama ada Felda akan menaikkan semula jumlah pembayaran pinjaman sara hidup itu, katanya, ia terpulang budi bicara jika Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sekiranya mahu memberikan baki RM500 itu.
“Biar Kementerian Hal Ehwal Ekonomi komen (isu ini), kita tidak mahu timbul masalah nanti,” katanya ringkas.
Dalam pada itu Unit Komunikasi Korporat Felda menerusi kenyataan di sini memberitahu agensi itu berhadapan cabaran kewangan bagi menjelaskan komitmen sebanyak RM500 juta setahun untuk Pinjaman Sara Hidup dan pendahuluan hasil peneroka.
“Sehingga kini Felda telah menggunakan dana dalaman sekitar RM7.5 bilion untuk membiayai pinjaman peneroka,” kata kenyataan itu.