SEORANG jurugambar berjaya merakam imej pembentukan fenomena ‘vertical aurora’ yang menerangi langit sekitar Rusia.
Valentin Zhiganov, 44, merakam gambar luar biasa itu dekat bandar Apatity, Murmansk Oblast, Russia ketika suhu direkodkan pada bacaan negatif 30 darjah Selsius.
Imej itu menunjukkan aurora – fenomena cahaya terang yang dapat dilihat di langit pada waktu malam – bercampur dengan pantulan cahaya lampu di bandar tersebut.
“Rancangan kami adalah untuk mengambil beberapa keping gambar di dalam tab mandi dengan berlatarbelakangkan aurora.
“Namun semasa dalam perjalanan kami terlihat cahaya luar biasa ini, jadi sudah tentu kami pun mengambil beberapa keping gambar fenomena tersebut.
“Ilusi optik ini dikenali sebagai tiang cahaya, ia sejenis aurora dan jarang berlaku. Ia kali pertama saya melihat jenis aurora seperti itu dan kami menikmati pemandangan yang luar biasa pada suhu rendah.
“Saya amat gembira kerana berpeluang merakam gambar dengan berlatarbelakangkan cahaya luar biasa ini,” kata Valentin.
Bulan lalu, seorang jurugambar berjaya merakam imej seakan-akan seekor naga gergasi berwarna hijau sedang menyembur api di ruang udara sewaktu pembentukan fenomena aurora borealis di Iceland.
Gambar itu kemudian dikongsi di Internet oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).
Gambar itu menunjukkan ibu kepada jurugambar itu berdiri di kawasan bersalji sambil memandang ke arah aurora borealis seperti satu makhluk mistik.
Imej naga itu pula kelihatan seperti mengembangkan sayap sambil menyemburkan api. – Metro.co.uk