GUANGZHOU – Sekumpulan doktor di sebuah hospital di sini berjaya mengeluarkan gumpalan rambut seberat 1.5 kilogram (kg) dari dalam perut seorang kanak-kanak perempuan baru-baru ini.
Pesakit yang dikenali sebagai Feifei, 8, dibawa ke Hospital Donghua di wilayah Guangdong oleh ibunya selepas kanak-kanak itu kerap muntah selain mengalami sakit perut berpanjangan selama seminggu. Perut Feifei juga didapati bengkak.
Pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer oleh sekumpulan doktor di hospital itu membawa kepada penemuan objek asing itu. Menurut laporan, Feifei gemar memakan rambut sejak berumur dua tahun.
Dr. Tang Shilong melakukan rawatan cuci gaster untuk mengosongkan isi perut Feifei dan tidak menjumpai sebarang sisa makanan, menurut laporan akhbar Southern Metropolitan Daily baru-baru ini.
Sekumpulan doktor kemudiannya melakukan satu pembedahan untuk mengeluarkan gumpalan rambut itu.
“Gumpalan rambut itu sudah berada di dalam perutnya selama bertahun-tahun. Lazimnya, tabiat memakan rambut adalah simptom yang dipanggil pica iaitu amalan memakan objek-objek tidak berkhasiat,” katanya. – Agensi