SEBANYAK 58 peratus daripada 206,000 responden yang menyertai undian di Facebook (FB) Harian Metro bersetuju permainan dalam talian PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) diharamkan di negara ini.
Keputusan itu diperoleh hasil tinjauan pendapat yang dibuat dalam tempoh 24 jam bermula kelmarin dengan tajuk ‘Adakah anda setuju jika permainan dalam talian PUBG diharamkan di negara ini?’.
Tinjauan ini turut menerima lebih 3,400 komen dan perkongsian sebanyak 3,502 daripada pengguna FB.
Pengguna FB berpendapat permainan video itu perlu diharamkan kerana terdapat latihan menembak menggunakan pelbagai senjata api yang boleh mempengaruhi kebanyakan pengganas meniru aksi itu.
Ada juga berpendapat pengharaman itu wajar kerana permainan itu tidak berfaedah dan melalaikan pemain terutama anak muda.
“PUBG ini memang bahaya kerana ada mod latihan tembak dan macam-macam jenis senjata dalam permainan itu.
“Rasanya memang kebanyakan pengganas berlatih menembak daripada permainan ini,” kata Mohd Nizam.
Siti Fadzleen pula berkata, tiada faedahnya bermain PUBG yang hanya membuang masa.
“Banyak sangat masa terbuang…untuk kerja, keluarga dan solat dilengahkan,” katanya.
Sementara itu, 42 peratus lagi responden memilih tidak bersetuju permainan itu diharamkan dengan alasan mereka permainan itu tidak adil dikaitkan dengan kejadian keganasan atau mempengaruhi pengganas.
Selain menguji minda dan tahap kreativiti pemain ia dikatakan menjadi sumber pendapatan buat pemain yang mempunyai penstriman langsung di media sosial.
Golongan tidak bersetuju pengharaman itu dilaksanakan turut mencadangkan segala filem mahupun permainan video juga aplikasi lain berunsurkan kelalaian dan keganasan seperti PUBG perlu diharamkan sama.
Pemilik akaun FB bernama Nami Swan mempertikaikan perlukah pengharaman itu dilakukan kerana ia menjana pendapatan sesetengah pemain.
Balqis Abdullah pula berkata, adalah tidak adil jika hanya PUBG saja diharamkan berikutan banyak permainan lain membawa ke arah negatif.
“Habis tu TikTok, Bigo, WeChat dan permainan lain yang sama macam PUBG?
“Aku pun main PUBG tetapi tidak adil haramkan PUBG saja sedangkan banyak lagi yang boleh bawa ke arah keganasan,” katanya.
Pendapat sama turut diakui Izwan Hafis yang meminta pengharaman dilakukan ke atas semua filem aksi dan berunsurkan peperangan. – myMetro Online