PULAU PINANG – Parti Gerakan membantah cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya rumah mampu milik dijual semula kepada kerajaan.
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan penjualan rumah oleh pemilik sebaliknya perlu ditentukan oleh pasaran bebas.
Menurut beliau, cadangan itu juga dilihat tidak praktikal untuk memastikan bekalan rumah mampu milik sentiasa ada di pasaran sebaliknya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membina lebih banyak rumah kategori tersebut selari dengan peningkatan permintaan.
“Campur tangan kerajaan dalam penjualan rumah kedua itu hanya akan dilihat sebagai penindasan dan ketidakadilan kepada pemilik rumah.
“Ini kerana harga rumah kedua sepatutnya ditentukan oleh pasaran atau ekonomi bebas, bukannya dikawal oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan sedang memperhalusi dasar supaya rumah mampu milik yang sedang dibina tahun ini hanya boleh dijual semula kepada kementerian berkenaan.
Menurut Zuraida, langkah itu bertujuan memastikan hanya golongan tidak berkemampuan menetap di rumah mampu milik, bukannya mereka yang tidak berkelayakan.
Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan negeri berkata, cadangan itu jelas menunjukkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak memahami masalah sebenar membabitkan isu rumah mampu milik.
Katanya, cabaran utama kepada rakyat kebanyakan ketika ini khususnya di Pulau Pinang adalah tidak banyak rumah mampu milik ditawarkan pemaju atau kerajaan negeri berbanding rumah-rumah mewah yang terus diluluskan.
“Apa gunanya campur tangan atau kawalan kerajaan kepada penjualan rumah kedua itu jika harganya masih melebihi RM300,000?
“Ini kerana majoriti rakyat tidak mampu membeli rumah dengan harga sedemikian apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan kos sara hidup yang terus meningkat ketika ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE