BRISTOL – Sekumpulan penyelidik Britain memberi harapan kepada para penghidap penyakit Parkinson dengan penggunaan implan baharu yang menyuntik ubat terus ke dalam otak pesakit.
Pakar neurologi Britain baru-baru ini mendedahkan mereka berjaya membaiki sel saraf yang rosak buat pertama kali dengan menggunakan ubat yang disuntik jauh ke dalam otak. Sebelum ini, ubat tertentu tidak dapat menembusi selaput otak yang memisahkan sel saraf otak daripada aliran darah badan.
“Kajian ini menunjukkan bukti paling kuat bahawa kita mempunyai satu cara bagi membaiki dan mengaktifkan semula sel otak pengeluar bahan kimia dopamin yang musnah akibat penyakit Parkinson,” kata ketua penyelidik di Universiti Bristol, Dr. Alan Whone.
Walaupun gagal membuktikan rawatan tersebut boleh mengurangkan gejala dialami pesakit, imbasan otak peserta kajian menunjukkan beberapa struktur saraf utama dirosakkan penyakit Parkinson mungkin pulih dengan mendadak.
Kumpulan penyelidik itu percaya mereka dapat menghapuskan sepenuhnya gejala penyakit Parkinson sekiranya meningkatkan dos ubat dan mengubah suai kaedah kajian tersebut.
Penyakit Parkinson ialah sejenis penyakit tidak berjangkit yang menjejaskan sistem motor dalam sistem saraf pusat. – Agensi