KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini sebentar tadi menetapkan 18 April ini bagi balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail untuk memfailkan jawapan pembelaan berhubung harta sepencarian yang dituntut pada tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan peguam Syarie Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Jamaludin Aminah Abdullah, 85, selepas prosiding pengurusan kes itu di dalam kamar Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Siti Zulaiha Mohamad Mansor di sini semalam.
“Hari ini adalah sebutan kes untuk harta sepencarian yang dikemukakan Kalsom, jadi mahkamah menetapkan 18 April ini untuk sebutan semula kes bagi pihak Kalsom memfailkan apa-apa jawapan berhubung perkara tersebut,” katanya.
Tambahnya, pada tarikh yang sama Kalsom juga diperintah memfailkan bantahan awal berhubung sijil Faraid yang dikemukakan Aminah pada Mac tahun lalu.
Dalam prosiding itu, balu Jamaludin diwakili peguam syarie Datuk Shamsuriah Sulaiman manakala empat anaknya diwakili peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman.
Kalsom, 63, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian pada Oktober tahun lalu namun tidak menyatakan perincian harta tersebut berikutan dokumen tidak diperolehi pihal media.
Aminah pada 2 Mac tahun lalu memfailkan permohonan mendapatkan sijil faraid bagi pembahagian, penyenaraian serta menentukan bahagian-bahagian harta yang ditinggalkan bekas Ahli Parlimen Rompin itu termasuk lebih 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Mekah serta beberapa buah syarikat.
Permohonan itu dilakukan mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang ketika itu berusia 64 tahun, bersama-sama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada pukul 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pengawal peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.
Ekoran kejadian itu, Jamaludin meninggalkan Kalsom dan empat anaknya iaitu Ikwan Hafiz, 32, Nur Anis, 34, Nurul Alyaa, 28, dan Noor Adilla, 24, akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan ibu mertuanya. – K! ONLINE