LONDON – Sempena Hari Tidur Sedunia yang disambut pada 15 Mac lalu, Guinness World Records telah menobatkan kelawar perang Amerika Utara sebagai juara tidur bagi kategori mamalia darat dengan rekod sehingga 19.9 jam dihabiskan berdengkur dalam satu hari.
Bagi manusia dewasa, antara 7 hingga 8 jam tidur diperlukan setiap hari dengan 9 hingga 10 jam untuk remaja dan sehingga 16 jam sehari untuk bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar.
Selain kelawar, mamalia lain yang kuat tidur adalah armadilo gergasi dengan catatan 18.1 jam, harimau Siberia sehingga 16 jam waktu tidur dan tupai sebanyak 15 jam sehari.
Mamalia paling kurang tidur di dunia pula adalah gajah Afrika yang dicatat melelapkan mata selama 25 hingga 30 minit beberapa kali sehari dengan jumlah keseluruhan tidak pernah melebihi 2 jam setiap hari.
Pada 2017, penyelidik Universiti Witwatersrand di Afrika Selatan mendapati gajah sememangnya tidur secara berdiri dan hanya dianggap tidur sekiranya belalai haiwan itu tidak bergerak lebih daripada 5 minit.
Selain itu, Koala yang terkenal sebagai makhluk paling malas di dunia dan diangkat sebagai juara tidur bagi kategori haiwan marsupial kerana menghabiskan 18 hingga 22 jam sehari melelapkan mata. – Agensi