PERTH – Konglomerat runcit dan bahan kimia Australia, Wesfarmers Ltd. menawarkan wang tunai A$1.50 bilion (AS$1.07 bilion) untuk mengambil alih Lynas Corporation Ltd.
Berita itu menyusul saham Lynas yang kekal pada harga rendah hampir 18 bulan kerana berdepan rintangan dalam pembaharuan lesen operasi di Malaysia, lokasi terletaknya kilang syarikat nadir bumi itu.
Wesfarmers membuat tawaran A$2.25 bagi setiap saham Lynas.
“Wesfarmers mempunyai lesen untuk beroperasi hampir dalam mana-mana industri secara asasnya. Ia adalah gaya Wesfarmers untuk membeli pada harga rendah.
“Mereka mampu membelinya dengan mudah. Saya rasa ia menarik untuk melihat apa yang pembida lain boleh tawarkan,” kata seorang penganalisis untuk Wesfarmers yang enggan dinamakan.
Tawaran itu yang merangkumi pelbagai syarat, bergantung kepada lesen operasi berkaitan yang diperolehi Lynas di Malaysia bagi tempoh tertentu yang ditetapkan, susulan penutupan perjanjian itu.
“Harga itu jauh terlalu rendah dan pembida lain mungkin membayar lebih untuknya,” kata penganalisis Dylan Kelly dari CLSA di Sydney.
“Ini turut menjadi peringatan mengenai risiko politik terhad dan juga sifatnya yang sangat strategik.”
Kelly berkata, tawaran itu terlalu rendah kerana ia meletakkan nadir bumi utama Lynas, Neodynium pada harga AS$50/kg berbanding sasaran jangka panjang CLSA AS$68/kg.
Ia mengekalkan pembelian berkeyakinan tinggi bagi saham itu.
Lynas yang merupakan satu-satunya pelombong nadir bumi utama di luar China, berdepan rintangan untuk memperbaharui lesen bagi kilangnya yang berharga AS$800 juta di Malaysia. – Reuters