PETALING JAYA – Seorang pakar pengangkutan mengalu-alukan pengumuman mengenai pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim, dengan berkata ia boleh memberi kemudahan kepada Pulau Pinang, Kedah, Perlis, malah utara Perak.
Rosli Azad Khan, seorang perunding dengan pengalaman lebih 40 tahun berkata, Kulim terletak lebih ke tengah berbanding Bayan Lepas di selatan pulau Pulau Pinang, yang merupakan lokasi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).
“Perkembangan ini menunjukkan Putrajaya tidak berminat dengan idea pembinaan lapangan terbang kedua di Pulau Pinang,” katanya.
“Bagi saya, sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim boleh mengambil alih peranan PIA dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar.”
“Ini akan menjadikan PIA tidak lagi perlu, sekali gus membolehkan tanah yang menempatkannya sekarang digunakan untuk perumahan, selain mengurangkan keperluan untuk menebus guna lebih banyak tanah untuk tujuan itu,” katanya kepada FMT.
“Ia juga akan mengurangkan kesesakan di pulau tersebut, sebagaimana Sepang membantu mengurangkan kesesakan di Kuala Lumpur. Bagi wilayah tengah, keperluan lebih ramai orang boleh dipenuhi,” katanya, dengan menambah telah sedia ada 2 jambatan di Pulau Pinang.
Lapangan terbang yang bakal dibina dengan dana swasta di Kulim, salah satu daripada beberapa projek infrastruktur di Kedah yang diumumkan oleh Menteri Hal-ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali Selasa lepas, dijangka menelan belanja RM1.6 bilion.
Bagaimanapun bagi Roger Tan, pelajar PhD di Pusat Kajian Pengangkutan di Imperial College, London berkata, ia merupakan penggunaan tidak cekap dana dan infrastruktur lapangan terbang sedia ada.
Katanya kepada FMT, lapangan terbang itu berkemungkinan besar akan menumpu kepada pengangkutan kargo untuk Taman Perindustrian Kulim, dengan menambah bahawa kemudahan kargo serta kapasiti landasan PIA juga masih jauh daripada mencapai had maksimumnya.
“Dengan jarak antara PIA dengan Taman Perindustrian Kulim hanya kira-kira 50km, cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa baru di situ akan memberi kesan negatif ke atas PIA dengan mengurangkan kadar penggunaan kemudahan infrastrukturnya yang sedia ada,” katanya.
Memetik laporan Bank Dunia mengenai Strategi Pengangkutan Nasional Malaysia, Teoh berkata, PIA pada asalnya diunjurkan untuk mengendalikan sehingga 730,000 tan kargo sehingga 2031. Bagaimanapun jumlah berat kargo yang dikendalikannya merosot 9% sejak 2006.
“Malaysia Airports Holdings Bhd. telah mengurangkan unjurannya sebanyak 70% kepada 215,000 tan menjelang 2031,” katanya.
Beliau berkata, data daripada Bank Dunia menunjukkan gambaran yang serupa, iaitu dengan pengangkutan kargo mencapai puncaknya pada 2009 dan jumlah pelepasan pesawat memuncak pada 2015.
Berdasarkan data tersebut katanya, jika lapangan terbang Kulim dibina bagi meningkatkan pengangkutan udara, maka langkah itu tidak diperlukan kerana kemudahan infrastruktur sedia ada di PIA boleh digunakan secara lebih berkesan.
“Jika lapangan terbang Kulim bertujuan melancarkan pergerakan penumpang, maka kajian sebelum ini menunjukkan langkah membesarkan PIA dengan membina terminal kedua penumpang lebih menjimatkan kos,” katanya.
Teoh berkata, langkah lebih praktikal ialah dengan meningkatkan kemudahan landasan kereta api di wilayah utara dengan menjadikan pergerakan penumpang dan kargo lebih berkesan antara PIA dengan bandar utama dalam kawasan itu.
Katanya, ini akan meningkatkan tahap penggunaan infrastruktur sedia ada.
“Akhirnya, apa-apa juga cadangan hendaklah disokong oleh pertimbangan waras dan diwajarkan dengan analisis kos-faedah,” katanya.
Ini berikutan gesaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow supaya Putrajaya menjalankan kajian kebolehlaksanaan berhubungan pembinaan lapangan terbang Kulim susulan kebimbangan dalam kalangan komuniti mengenai kesan kemungkinannya. – FMT