SEORANG lelaki yang didakwa merompak dan mencederakan seorang wanita dalam lif stesen MRT 2 minggu lepas, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Pembaiki pendingin hawa, G Thinathayaalan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di depan Hakim Mahyon Talib.
Tertuduh yang berkemeja biru tua dan seluar paras lutut, didakwa merompak pengurus bank, Lee Meei Shan, 48, dengan melarikan kad pengenalan, lesen memandu, 2 kad ATM bank, 2 kad kredit dan wang tunai RM400, serta sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dalam lif Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, di sini, pada 6.45 pagi, 14 Februari lalu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan pendakwa raya, N Joy Jothi tidak menawarkan ikat jamin kerana perbuatan tertuduh sangat kejam dan mengambil kira kejadian itu mendapat tumpuan masyarakat selepas rakaman kamera litar tertutup tersebar di media sosial.
“Kes ini menjadi tular kerana kejadian dirakam melalui CCTV. Pohon jaminan tidak dibenarkan berikutan kejadian ini sangat kejam.”
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, tidak membuat sebarang rayuan untuk jaminan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.
Pada 14 Februari lalu, rakaman CCTV selama 55 saat menunjukkan mangsa yang menaiki lif seorang diri, dipukul dan ditendang seorang lelaki sebelum melarikan kad pengenalan, kad bank dan wangnya.