KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam meleraikan provokasi yang dilakukan beberapa pihak semasa program Sembang Santai Bersama Bossku di Restoran Amjal, di sini hari ini.
Ketika kejadian, beberapa individu dilihat menaikkan poster berbentuk provokasi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi tetamu dalam program itu.
Antara poster yang dinaikkan adalah lakaran grafik Najib menyerupai badut dan plakad ‘Tangkap Najib’ serta ‘Pulangkan Duit Rakyat’.
Provokasi tersebut dileraikan setelah Lokman dan beberapa jawatankuasa majlis lain turun dan meminta kumpulan tersebut balik.
Lokman turut mengoyakkan poster gambar badut Najib dan berlaku pergelutan sebelum individu-individu tersebut beredar.
Utusan Online akan cuba mendapatkan komen Lokman selepas program tamat. – UTUSAN ONLINE