TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional, Mohamad Hasan menggesa semua pemimpin parti komponen gabungan itu supaya jangan bertindak melulu susulan perbalahan antara MCA, MIC dan Setiausaha Agung, Nazri Aziz.
Mohamad tidak akan ketepikan ketidakpuasan hati pemimpin MCA dan MIC tetapi mengingatkan semua pihak persefahaman dan permuafakatan dalam BN terbentuk selepas mengharungi pelbagai cabaran bersama.
“Oleh yang demikian, adalah sangat kritikal untuk semua pihak tidak bertindak melulu atau bersifat pukul rata,” katanya dalam kenyataan.
“Khususnya dengan terus mengambil kenyataan seorang dua pemimpin dari mana-mana parti komponen yang tidak pun mewakili pendirian BN sebagai perkara pokok dalam menilai semula status serta masa depan BN.”
Beliau menegaskan kerjasama, persefahaman dan persaudaraan dalam BN menjangkaui kenyataan segelintir kecil pemimpin-pemimpin tertentu.
“Adalah sangat merugikan jika kita semua memilih untuk menjadi tidak adil melihat kelemahan kecil ini sebagai alasan menafikan kelebihan besar yang telah dibangunkan secara telus selama ini,” katanya.
Mohamad juga mengumumkan satu mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara-perkara berbangkit.
“BN akan memaklumkan butir-butirnya dalam sedikit masa lagi,” katanya.
Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden MIC, SA Vigneswaran hari ini menggesa majlis tertinggi BN segera bermesyuarat untuk membincangkan perkembangan politik semasa dan memutuskan masa depan mereka, susulan kenyataan Nazri.
MCA dan MIC mendakwa Nazri berkali-kali mengeluarkan kenyataan bernada perkauman yang mengguris hati penyokong, terutama kenyataan pada pilihan raya kecil Semenyih.
Wee dan Vigneswaran berkata MCA dan MIC bernekad satu gabungan politik baru dibentuk berlandaskan perjuangan asal BN, iaitu memupuk perpaduan politik dalam masyarakat majmuk.
Nazri hari ini mempersilakan MCA dan MIC keluar daripada gabungan itu, dan berkata Umno mahu membentuk gabungan politik baru bersama PAS. – FMT