SHAH ALAM – Legenda bola sepak England, Michael Owen tidak lokek berkongsi pengalamannya ketika mengendalikan klinik bola sepak bersama pasukan bawah 19 (B-19) Selangor di Padang SUK, dekat sini hari ini.
Hadir sama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Owen yang pernah beraksi untuk pasukan terkemuka Inggeris antaranya Liverpool dan Manchester United berharap pemain muda berkenaan mendapat manfaat daripada pengalamannya.
“Saya rasa teruja dapat berada di sini. Hari ini, saya berpeluang melihat pemain yang berpotensi di kelab yang hebat ini dan gembira dapat bertemu mereka.
“Bagus dapat lihat mereka berlatih… Saya harap jawapan berdasarkan soalan yang dikemukakan membantu mereka untuk menjadi pemain yang berjaya.
“Lagipun, bola sepak adalah sukan yang sukar dan ia amat kompetitif untuk sampai ke tahap tertinggi. Jadi saya harap semua pemain ini dapat meneruskan karier mereka,” kata Owen.
Selain Liverpool dan Manchester United, Owen yang kini berusia 40 tahun turut pernah beraksi bersama Real Madrid, Newcastle United, dan Stoke City.
Dia juga pernah diangkat selaku pemenang anugerah Ballon d’Or pada 2001 selepas membantu Liverpool melakar kejayaan ‘trebel’ – Piala UEFA, Piala FA dan Piala Liga. – BH Online