ATAS kesedaran kepupusan Harimau Malaya, penyanyi bernada tinggi Ning Baizura memilih Zoo Negara sebagai lokasi mini konsert ‘Ning Baizura live at Zoo Negara’ pada 20 April depan.
Selain prihatin nasib Harimau Malaya, Ning juga mahu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya untuk semua bersama memelihara habitat binatang yang semakin terancam ini.
“Kita sebagai generasi hari ini sangat bangga dengan Harimau Malaya yang dijadikan ‘ikon sukan’ tetapi apakah anda tahu spesiesnya di dalam hutan di Malaysia semakin pupus?
“Jika beberapa tahun lalu, spesies Harimau Malaya masih ada beribu dalam hutan di negara ini tetapi sekarang daripada maklumat saya tahu jumlah yang masih ada kurang daripada 200 ekor. Malah di Zoo Negara ini pun tinggal sembilan ekor saja,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas pelancaran konsert tersebut.
Ning, 43, berkata, lokasi itu dipilih berikutan ia dilihat bersesuaian dan ia merupakan tempat percutian keluarga.
Justeru, katanya selain pengunjung berhibur, mereka juga akan mendapat pelbagai maklumat mengenai pelbagai spesies haiwan liar di Zoo Negara terutama Harimau Malaya yang sangat dibanggakan rakyat Malaysia.
“Sebenarnya, selain aktif menyanyi selama 26 tahun ini, saya juga seorang sukarelawan dalam penjagaan dan memperjuangkan kehidupan haiwan.
“Sudah 17 tahun saya menjadi aktivis dan melakukan kerja amal ini tetapi memang tidak begitu menguar-uarkan kerana selesa buat secara diam saja,” katanya.
Dalam pada itu, Ning memberitahu dia tidak pernah membeli barang-barang atau pakaian yang diperbuat dariapada haiwan.
Katanya, perkara itu hanya menggalakkan aktiviti pemburuan haram semakin berleluasa.
“Kita bangga dengan Harimau Malaya tapi kita tidak sedar haiwan itu semakin pupus di Zoo Negara ini sahaja hanya tinggal sembilan ekor.
“Sebab itu juga saya sendiri tidak pernah membeli baju daripada kulit binatang, bagi saya ia seperti kejam,” ujarnya.
Sementara itu, Ning berkata, dia akan menyanyikan 10 buah lagu popularnya dalam persembahan berdurasi satu jam itu.
Dalam pada itu, menurut penganjur konsert yang juga Duta Harimau MyCat Maple Loo tiket dijual dengan harga RM175 untuk dewasa, manakala RM100 untuk kanak-kanak.
Pengujung juga boleh membeli harga pakej RM505 untuk keluarga yang terdiri daripada 2 dewasa dan 2 kanak-kanak.
Dan tiket tersebut boleh didapati di www.airasiaredtix.com.
Ning akan menyanyikan 10 lagu dalam konsert mini itu dan penonton juga akan menikmati aktiviti lain seperti menyaksikan beberapa pertunjukan haiwan.
Menurut Maple, 10 peratus daripada hasil penjualan tiket untuk konsert mini berkenaan akan disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) My CAT yang terbabit membela nasib harimau. – FMT