SEORANG murid lelaki sebuah sekolah rendah di sini maut selepas dilanggar dua kenderaan pacuan empat roda di Jalan POIC Baru berdekatan Jambatan Sungai Edam, semalam.
Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa Lee Tzee Sheong beralamat di Kampung Kenanga Jalan POIC di sini, meninggal dunia di Hospital Lahad Datu akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata siasatan awal mendapati mangsa yang tiba-tiba melintas jalan, dilanggar sebuah kereta jenis Isuzu D-Max yang bergerak dari arah POIC menuju ke Jalan Segama.
“Mangsa yang tercampak kemudian dilanggar sekali lagi oleh sebuah kereta Toyota Prado yang dipandu seorang wanita berusia 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata pemandu Isuzu itu melarikan diri dengan memecut laju kenderaannya manakala pemandu wanita membuat laporan polis pada jam 9.50 malam tadi.
Nasri berkata kejadian berlaku di jalan raya lurus serta basah akibat hujan dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.