KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini mencadangkan supaya jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diberi kepada ahli Parlimen pembangkang dari UMNO.
Beliau yang juga merupakan ahli PAC berkata ahli Parlimen dari UMNO paling layak dipilih memandangkan mereka mempunyai anggota paling ramai dari segi blok pembangkang di Dewan Rakyat.
Katanya lagi, kedudukan Pengerusi dan Naib Pengerusi PAC yang diwakili ahli Parlimen dari kerajaan ketika ini bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).
Malah beliau turut berpendapat ianya bukan amalan biasa seperti yang dilakukan sebelum ini.
“Kerajaan perlu meneruskan amalan melantik ahli Parlimen pembangkang untuk mengetuai PAC. Kalau zaman Barisan Nasional (BN), pengerusi dari BN dan timbalan (naib) dari pembangkang.
“Sekarang pengerusi dan timbalan (naib) semua dari kerajaan. Kita nampak agak lari jauh dari amalan asal. Paling tidak kalau pengerusi dari kerajaan, timbalan (naib) mesti dari pembangkang,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen, Isnin.
Mengulas mengenai tindakan ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang meletak jawatan sebagai anggota PAC, Takiyuddin berpendapat ianya tindakan peribadi.
“Saya rasa tindakan Nurul Izzah ada asasnya, satu mungkin dari segi keberkesanan PAC dan kedua dia tidak bersetuju dengan kerajaan Pakatan Harapan yang tidak mengotakan janjinya,” katanya.
Mengikut manifesto PH sebelum ini, jawatan Pengerusi PAC dikhaskan kepada wakil rakyat pembangkang.
Sementara itu, Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon berkata Dewan Rakyat mengambil maklum dan akan membincangkan mengenai isu jawatan Pengerusi PAC.
“Kita mengambil maklum dan akan bawa dalam perbincangan,” katanya.
Rashid berkata demikian selepas Lim Lip Eng (PH DAP- Kepong) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 77(2) berhubung isu terbabit dan meminta supaya Speaker membuat keputusan.
“Permintaan ini ringkas kerana dalam manifesto Pakatan Harapan sudah menjanjikan jawatan Pengerusi PAC perlu dilantik dalam kalangan ahli Parlimen Pembangkang. Kita harus tunaikan,” katanya yang turut mendapat sokongan Datuk Ahmad Maslan (BN UMNO-Pontian). – Agenda News