PASIR GUDANG – Penutupan kesemua 111 sekolah yang terjejas akibat pencemaran toksik di daerah ini sejak Rabu lalu akan dilanjutkan sehingga tamat cuti pertengahan penggal pertama berakhir 30 Mac ini.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, lanjutan penutupan itu dibuat berdasarkan prinsip langkah berjaga-jaga yang diambil pihak Kementerian Pendidikan.
“Kita berharap dengan penjelasan ini, semua ambil maklum tentang perkembangan semasa krisis dan kalau ada apa-apa info tambahan, kita (kementerian) akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa pencemaran di Pusat Rawatan Awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini sebentar tadi.
Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan. – UTUSAN ONLINE