PASIR GUDANG – Setelah lebih seminggu petugas media ‘berkampung’ di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana (JPBB) di Menara Aqabah di sini bagi proses pengurusan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, petugas media hari ini ‘dihalau’ keluar.
Sebelum ini, petugas media dibenarkan berada di dalam bangunan berkenaan malahan ada bilik yang dikhususkan untuk petugas media iaitu lokasi kebanyakan sidang akhbar dilakukan.
Namun bermula hari ini, petugas media dimaklumkan mereka tidak lagi dibenarkan berada di dalam bangunan tersebut dan sebaliknya perlu berada di luar.
Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Zainor Adani.
Petugas media bagaimanapun hanya dibenarkan untuk memasuki bangunan berkenaan sekiranya terdapat sidang akhbar yang diadakan.
Turut dimaklumkan, para petugas media yang bertugas di pusat saringan awal di Stadium Tertutup MPPG berasa kecewa dengan layanan diberikan oleh pihak berkenaan di lokasi tersebut.
Sementara itu, Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak berkata, media tidak meminta layanan istimewa daripada pihak tersebut, namun mahu pihak berkenaan memberikan ruang dan peluang bagi membolehkan para pengamal media melaksanakan tugas.
Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini yang berlarutan sejak 7 Mac lalu telah menjejaskan seramai lebih 4,000 penduduk setempat sehingga memaksa kerajaan menutup kesemua 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang. – K! ONLINE