KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendesak agar kerajaan menjelaskan secara terperinci apakah kos pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta ataupun melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (FPI).
Jelas beliau, perkara ini penting kerana ia melibatkan kewangan negara.
“Kita tidak kisah sama ada pembinaan lapangan terbang ini perlu atau tidak sebab kerajaan yang buat kajian dan ia tidak didedahkan. Apa yang kita persoalkan adalah kos pembinaannya itu adakah di biayai oleh swasta sepenuhnya atau melalui cara FPI.
“Ini melibatkan kos yang tinggi… ada ke pihak swasta yang tanggung sepenuhnya dan hasil daripada lapangan terbang itu nanti adakah swasta akan kutip sepenuhnya?
“Ini yang kita mahu kerajaan jelaskan secara jelas dan tidak perlu pusing-pusing,” ujar beliau kepada UMNO-Online di lobi Parlimen hari ini.
Mahdzir menekankan perkara ini kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali ternyata bercanggah dengan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Untuk rekod, baru-baru ini Azmin berkata, Putrajaya tidak akan menanggung kos pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, sebaliknya pembiayaannya akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta.
Kos bagi pembinaan ini adalah berjumpah RM1.6 bilion.
Namun apa yang mengelirukan adalah Guan Eng pula mengeluarkan kenyataan bahawa kos pembinaan lapangan terbang ini adalah di bawah FPI. – MediaUMNO