PROJEK Kompleks Bersepadu Petronas di Pengerang (PIPC), Johor telah berjaya menjana keuntungan kepada lima buah koperasi.
Ketua Unit Perhubungan Awam Petronas Refinery dan Petrochecimal Corporation Sdn. Bhd. Pengerang, M. Latif M. Taib berkata, kesemua koperasi itu berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM10.13 juta pada tahun lalu.
Jelas beliau, antara projek yang dijalankan koperasi-koperasi tersebut adalah stesen minyak, kedai runcit, kafeteria, perkhidmatan cuci kenderaan dan pengedaran minyak pelincir.
“Jualan minyak diesel di Koperasi Pengerang Jaya Johor Berhad pula melebihi 6.5 juta liter sehari sekali gus menjadi stesen minyak tertinggi yang meraih jualan tertinggi di Malaysia.
“Saya percaya penjualan minyak akan meningkat apabila projek Pengerang ini siap sepenuhnya dan semua koperasi terlibat bakal menjadi antara 10 koperasi yang menyumbang perolehan tertinggi di Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kompleks Bersepadu Pengerang merupakan projek pelaburan terbesar Petronas di Malaysia menempatkan beberapa kemudahan antaranya kompleks petrokimia dan penapisan untuk menapis 300,000 tong minyak mentah sehari bagi menghasilkan produk petroleum untuk penggunaan domestik berdasarkan spesifikasi Euro 5 terutama gasolin dan diesel. – UTUSAN ONLINE