ALOR GAJAH – Polis menumpaskan sindiket pil ekstasi selepas merampas sebanyak 285.6 kilogram (kg) serbuk dadah, yang terbesar pada tahun ini dalam serbuan di sebuah premis di kawasan perindustrian industri kecil dan sederhana di sini kelmarin.
Dalam serbuan selama 13 jam bermula pukul 8 pagi itu, dua suspek warga Singapura dan seorang lelaki tempatan berusia 48 sehingga 60 tahun ditahan secara berasingan di makmal berkenaan serta di Taman Gadong.
Seorang suspek warga Singapura berusia 53 tahun yang ditahan dipercayai pakar dalam pembuatan dadah tersebut.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, rampasan serbuk dadah itu boleh menghasilkan kira-kira satu juta pil ekstasi untuk pasaran antarabangsa.
“Sindiket tersebut berselindung dengan menyewa premis membaiki mesin-mesin terpakai di kawasan berkenaan sejak sebulan lalu.
“Pemeriksaan di dalamnya menemui 562 biji pil ekstasi, 285.6kg serbuk dipercayai untuk dijadikan pil ekstasi dan 6.3kg syabu dengan nilai keseluruhan RM30 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Alor Gajah di sini hari ini.
Turut dirampas pelbagai bahan kimia dan peralatan memproses dadah selain enam buah kenderaan termasuk empat buah motokar serta masing-masing sebuah motosikal dan jet ski bernilai RM337,080.
Menurut Zulkifli, susulan tangkapan itu, polis kemudian menyerbu kediaman seorang suspek warga Singapura di Johor Bahru dan merampas pelbagai bahan kimia untuk memproses dadah.
“Ini adalah kali pertama kita menyerbu makmal dadah yang tidak mengeluarkan bau kimia berikutan keadaan premis yang lebih sofistikated dengan saluran pembuangan sisa terkawal tanpa mengeluarkan bau bahan kimia,” katanya.
Ketiga-tiga suspek direman selama seminggu sehingga 20 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE