PENGGUNA media sosial lebih tertarik dengan berita pembangkang berbanding berita kerajaan, sebahagiannya disebabkan rasa tidak puas hati dengan Pakatan Harapan, kata firma penyelidikan media sosial, Politweet.
Pengasas Politweet, Ahmed Kamal Nava berkata berita UMNO-Barisan Nasional di Facebook selalunya dibaca oleh orang ramai, berbanding parti lain.
“Sebab utama adalah kurangnya keputusan dasar oleh PH untuk membuat rakyat gembira dan menaruh harapan mengenai masa depan.
“Masyarakat tidak nampak kemajuan oleh PH setakat ini,” katanya.
Menurut kajian melalui Facebook dan Twitter sejak pilihan raya umum 9 Mei, Kamal berkata kira-kira 70% pengundi Melayu memilih PAS dan BN berbanding PH.
“Sejak itu, tiada tanda yang ketara di media sosial mengenai pengundi Melayu lebih menyokong PH,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan analisa mengenai pemimpin politik di media sosial dari Mei hingga Januari lalu, populariti bekas perdana menteri, Najib Razak makin meningkat, sementara Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad hanya mengekalkan tahap populariti sedia ada.
Populariti Presiden PKR dan bakal perdana menteri Anwar Ibrahim semakin menurun.
“Jumlah orang Melayu berumur 13 hingga 65 tahun yang berminat membaca mengenai Najib sejak Disember lalu adalah 10.16 juta, sementara lingkungan usia dan tempoh sama yang berminat membaca mengenai Mahathir adalah 3.87 juta,” kata Kamal.
Sementara, jumlah orang Cina pada Disember dalam kumpulan umur yang sama yang minat membaca mengenai Najib adalah 2.76 juta, manakala untuk Mahathir adalah 1.146 juta.
Dalam kalangan pengguna Facebook yang berumur lebih daripada 21 tahun yang berminat kepada politik, UMNO menduduki tempat teratas dengan 6.3 juta carian sejak Januari lalu.
Ini diikuti PKR (4.2 juta), DAP (2.3 juta), MCA (1.4 juta), PAS (470,000), Gerakan (390,000) dan MIC (170,000).
Kamal berkata, kajian Politweet juga menunjukkan berita buruk berkaitan PH lebih banyak dikongsi, berbanding berita baik.
Beliau memberi contoh berita mengenai cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikuatkuasakan semula September lalu, yang membuatkan ramai terkejut.
“Terdapat unsur berpaling tadah dalam kalangan rakyat yang mengharapkan diskaun harga selepas cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan, tetapi tidak menjangkakan SST akan dikembalikan,” katanya.
Beliau juga memberi contoh mengenai keputusan mengurangkan subsidi dan yang menimbulkan masalah kebajikan dan kos hidup.
“Apabila orang membaca berita mengenai penurunan subsidi, walaupun mereka tidak terlibat, ia menimbulkan kebimbangan sesuatu akan melibatkan mereka kemudian.
“Keputusan pusingan-U oleh pemimpin politik juga membuatkan kerajaan dilihat tidak cekap dan tidak boleh dipercayai,” katanya.
Penganalisis politik, Azmi Hassan mengingatkan serangan pembangkang dalam media sosial dilakukan secara ad hoc, mereka akhirnya menjadi lebih strategik.
“Apabila ini berlaku, ia tentunya akan menyakitkan PH, terutama pada pilihan raya umum akan datang.
“Persepsi negatif yang dimainkan di alam maya akhirnya membuat orang hilang keyakinan terhadap PH,” katanya.
Menurutnya, Najib membuktikan beliau dapat menyesuaikan diri dengan penggunaan media sosial, lebih baik daripada pemimpin lain, seperti Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan.
Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata, serangan pembangkang di media sosial boleh menjejaskan sokongan asas terhadap PH, kebanyakannya dari bandar dan mereka yang lebih berpelajaran.
Ini akan mendatangkan masalah kepada PH, sambil menambah pengguna internet kini lebih mudah terdedah kepada “propaganda pembangkang” disebabkan perasaan kecewa kerana tiada keputusan segera dan kemasukan aktiviti dalam talian selepas PH mengambil alih kerajaan. – FMT