KEMAMAN – Seorang lelaki yang mendakwa dirinya mendapat gelaran ‘Raja Muda’ dari kerajaan jin ditahan di Surau Taman Rimba Bukit Bauk, di sini, kerana dipercayai mengamalkan ritual aneh yang meragukan dan menghias surau berkenaan umpama istananya.
Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan lapan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada jam 4.45 petang semalam selepas menerima maklumat tentang aktiviti mencurigakan lelaki tersebut di surau berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohd Zohan Seman berkata, dalam tangkapan itu pihaknya merampas sebatang kayu mimbar yang dibalut dengan kain kuning dan putih serta dua batu nisan.
Menurutnya, ketika ditahan, lelaki itu mendakwa dirinya digelar ‘Raja Muda Abdul Aziz’ dan mendapat gelaran itu daripada kerajaan jin yang mendiami kawasan hutan berhampiran.
“Soal siasat lanjut mendapati lelaki yang berasal dari Tanjung Jara, Dungun itu menetap di surau tersebut sejak enam bulan lalu.
“Dia mendakwa sering melakukan pertemuan bersama jin dan orang bunian yang mendiami kawasan tersebut pada setiap malam di surau terbabit untuk menyampaikan taklimat pengurusan dan pentadbiran kerajaan bayangannya,” katanya.
Kata beliau, surau itu dijadikan seperti istananya dan dihias dengan aneh.
Kelakuan pelik lelaki itu menyebabkan orang awam tidak berani untuk singgah solat di surau berkenaan yang menjadi kawasan tumpuan untuk beriadah.
Dengan tangkapan itu, lelaki berkenaan dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut dan kes kemudian diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah Dungun untuk tindakan selanjutnya.
Susulan itu, sepasukan enam pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Daerah Dungun bersama sepasukan anggota polis melakukan siasatan di surau itu kira-kira jam 8.45 malam tadi bersama suspek.
Setibanya di surau itu, di temui sebuah sofa yang dijadikan kerusi takhtanya sebagai ‘Raja Muda’, payung tergantung, kitab dan beberapa barangan lain yang disyaki untuk aktiviti pemujaan.
Lelaki terbabit juga didapati menampalkan perkataan ‘Istana Raja Muda Abdul Aziz’ di dinding surau terbabit kerana mendakwa dia dilantik dan ditabalkan sebagai raja muda, dua bulan lalu.
Selepas selesai pemeriksaan dan siasatan dalam surau itu, lelaki terbabit turut berkelakuan aneh dengan melaung perkataan daulat tuanku beberapa kali ketika dia dibawa keluar dari surau.
Lelaki itu kemudian dibawa ke Pejabat Agama Daerah Dungun dan semua barangan mencurigakan dalam surau berkenaan turut dirampas untuk siasatan lanjut. – Sinar Harian