SALAH seorang tertuduh tidak hadirkan diri pada sebutan kes insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 26 November lalu, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.
Ia berikutan tertuduh, Mohd Khairi Abd Rashid, berada dalam tahanan polis IPD Cheras bagi kes berbeza.
Perkara itu disahkan oleh penjaminnya kepada Majistret, Nor Ariffin Hisham hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran memaklumkan bahawa pihaknya belum melengkapkan dokumen untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.
“Justeru saya mohon tarikh lain untuk serahan dokumen,” katanya.
Nor Ariffin kemudiannya menetapkan 18 April depan sebagai pengurusan kes.
Sejak 4 Disember lalu, seramai 18 individu didakwa melibatkan diri dalam rusuhan dengan memiliki senjata berbahaya untuk menyerang.
Selain Mohd Khairi, mereka adalah Mohd Ashraf Mohd Faisal, Absal Evastrie Abdullah, Muhamed Jalil Talib, Muhammad Khairol Anuar Zabidi, Muhd Zamri Md Said, Shukri Razali, Afizal Sabtu, Nor Azmi Abdul Ghani, Muhammad Ridzuan Sekh Ruslan, Rozaihan Jamaludin, Mohammad Shahril Danniel Sajel, Mohammad Saifullah Abdullah, Muhammad Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Aziz dan Mohd Norul Ismawi Islahuddin.
Kesalahan itu didakwa dilakukan diantara pukul 2 pagi hingga 5 pagi, 26 November lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Hezri Shaharil dan Azlan Roni. – Sinar Harian