PENTADBIRAN Kepulauan Riau mengarahkan semua pegawainya menggunakan sistem daftar masuk menggunakan cap jari ketika memasuki masjid sebelum solat Subuh.
The Jakarta Post melaporkan, Gabenor Kepulauan Riau, Nurdin Basirun melaksanakan polisi itu agar setiap ketua agensi kerajaan wilayah itu dapat menumpukan perhatian untuk menjadi lebih beriman.
Langkah itu bagaimanapun mendapat reaksi bercampur dari pegawai di wilayah berkenaan.
Ketua Agensi Olahraga, Meifrizon, yang menyokong polisi itu berkata langkah itu akan memberi impak positif terhadap pencapaian para pegawai.
“Ia berkesan ke atas kami. Sekiranya kita tidak daftar masuk, kita tidak dapat gaji,” katanya.
Pegawai lain pula mengkritik langkah tersebut, mengatakan sistem itu tidak ada kaitan dengan keagamaan.
“Saya biasanya pergi ke masjid dengan gabenor, tetapi saya tidak daftar masuk menggunakan sistem itu. Solat adalah wajib kerana ia mengenai hubungan antara saya dan Tuhan. Bagaimanapun, pengesanan kehadiran itu tidak diperlukan,” kata Ketua Agensi Kesihatan, Tjetjep Yudiana.
Seorang pegawai yang enggan dinamakan berkata: “Solat adalah hubungan dengan Tuhan. Sistem kehadiran tidak ada hubungan dengannya. Solat berjemaah bersama gabenor itu bukan suatu kewajipan. Kami mula bekerja pada jam 8 pagi, bukan pada waktu subuh.”
Pegawai itu menambah sesetengah pegawai lebih suka melakukan solat Subuh di masjid berhampiran rumah mereka. – FMT