KUALA LUMPUR – Jika sidang Dewan Rakyat yang pertama selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu, mungkin pembangkang banyak berdiam apabila disindir hutang negara kini tinggi kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Namun selepas 10 bulan, tempoh bulan madu kerajaan PH menyalahkan 1MDB sebagai punca segala masalah negara nampaknya tidak lagi menerima ‘laluan’ semudah dulu di Dewan Rakyat.
Ini apabila kerajaan PH sendiri berdepan pelbagai isu dan skandal walaupun belum pun setahun mengambil alih kerajaan.
Ketika sesi soal jawab pagi ini misalnya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seperti lazimnya tidak akan terlepas dari mulutnya 1MDB apabila menjawab soalan mengenai kewangan negara tetapi kali ini beliau bertemu buku dengan ruas dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).
Bung Moktar yang terkenal dengan kelantangannya bingkas menjerit dari tempat duduknya “skandal manifesto, terowong, sijil, banglo, macam-macam!” yang ditujukan kepada Guan Eng.
Turut menyindir Guan Eng, Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) yang menjerit “terowong” berulang kali sambil beliau ketawa kecil.
Dan bagaimanapun menjadi panas kerana apabila Guan Eng disentuh, tanpa disuruh RSN Rayer (DAP-Jelutong) akan pantas bangkit mempertahankan bosnya itu sambil menjerit balik kepada Bung Moktar “kurang ajar.”
Ini menukar keadaan menjadi tegang apabila kedua-dua belah pihak saling menjerit. Bung Moktar yang biasanya pantang dicabar membalas balik, “siapa kurang ajar? Kau salah orang lah.”
Situasi ini kemudian berjaya ditenangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof yang meminta Rayer dan Bung Moktar menarik nafas seketika.
“Ini baru hari pertama,” kemudian meneruskan sesi soal jawab dengan giliran Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus (PH-Hulu Langat) bertanyakan soalan nombor 11. – UTUSAN ONLINE