REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram menafikan dakwaan beliau akan membawa aktres filem India, Namitha Vankawala ke Rantau.
Menurut beliau, maklumat yang ditularkan di media sosial sejak semalam itu berniat jahat untuk memburuk-burukkan reputasinya.
“Saya percaya fitnah ini disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Streram berkata, laporan polis berhubung maklumat palsu itu telah dibuat oleh wakilnya di Balai Polis Rantau pada pukul 12.01 tengahari ini.
Mesej infografik yang tular di media sosial mendakwa Streram selaku calon PH akan membawa selebriti wanita dari India ke Rantau.
Langkah itu didakwa bagi meraih undi kaum India di Rantau khususnya dalam kalangan remaja berketurunan India.
Namitha, 38, merupakan pelakon filem India dan pernah menjadi peserta pertandingan Miss India pada tahun 2001. – K! ONLINE