LANGKAWI – Tempoh reman sepasang suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak, Nur Aisyah Aleya Abdulah, 3, disambung tujuh hari lagi.
Perintah tahanan reman ke atas dua suspek berusia 37 dan 40 tahun itu dibenarkan Pegawai Daerah Langkawi, Muhamad Arof Darus di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, tempoh reman suspek lelaki yang tidak bekerja dan isterinya, seorang jururawat di Hospital Langkawi (HL) disambung seminggu lagi bermula esok hingga 20 Mac depan.
“Siasatan ke atas pasangan suami isteri itu diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pasangan suami isteri terbabit sebelum ini direman tujuh hari bermula 7 Mac lalu hingga hari ini di Mahkamah Majistret Langkawi di sini.
Kosmo! Online pada 7 Mac lalu melaporkan tanda tanya mengenai kehilangan seorang kanak-kanak perempuan sejak awal bulan lalu berakhir dengan kisah sedih apabila polis mengesahkan mangsa dibunuh selepas menemui tengkorak dan cebisan rambut mangsa di Gunung Raya di sini.
Cebisan daripada mayat Nur Aisyah Aleya yang tidak sempurna itu ditemui anggota polis di dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter dari Jalan Gunung Raya kira-kira pukul 11.30 pagi, 6 Mac lalu.
Polis kemudian menemui dua batang gigi dan gumpalan rambut dipercayai milik kanak-kanak perempuan terbabit yang dipercayai menjadi mangsa dera suspek pada hari kedua operasi pencarian dilakukan di lokasi sama.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya, Rosmaliah Samo, 32, ketika berada dalam jagaan sepasang suami isteri di kuarters kakitangan HL. – K! ONLINE