PUTRAJAYA – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah akan berangkat mengadakan lawatan kerja ke Malaysia esok, sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-22 antara Malaysia dengan Brunei.
Kementerian Luar memaklumkan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menerima keberangkatan baginda di Putrajaya.
Ini adalah pertemuan julung kali antara Dr. Mahathir dan Sultan Hassanal Bolkiah di bawah kerangka Rundingan Pemimpin Tahunan.
Kementerian itu berkata, rundingan berkenaan adalah platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Katanya, kedua-dua pemimpin sebelum ini sudah bertukar-tukar lawatan pada Mei dan September tahun lalu susulan pelantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.
“Bertitik tolak daripada hubungan istimewa yang sudah sekian lama terjalin melalui persamaan warisan dan budaya, Malaysia dan Brunei berada pada landasan yang tepat ke arah membina usahasama dan perkongsian yang lebih menyeluruh.
“Perdana Menteri dan baginda Sultan akan mengambil peluang semasa lawatan penting dan mesyuarat tahunan ini untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan, selain meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan serta kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kementerian Luar berkata, Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah dalam satu Majlis Santapan Tengah Hari semasa lawatan berkenaan.
Sementara itu, katanya, jumlah dagangan antara Malaysia dan Brunei adalah sebanyak AS$981.2 juta (RM4 bilion) pada 2018.
“Malaysia adalah pelabur utama di Brunei bagi rantau ASEAN, dengan pelaburan langsung asing dari Malaysia berjumlah AS$486.74 juta (RM2 bilion) pada 2017 iaitu hampir 90.9 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (AS$535.27 juta (RM2.2 bilion)) dari negara ASEAN yang lain ke Brunei.” – BH Online