SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail enggan membuat sebarang komen terhadap tindakan anaknya, Nurul Izzah yang mencetuskan ‘perang’ mulut dalam kalangan Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang hadir merasmikan Seminar ‘Gift of Love – Women Empowerment 2019’, Memberdaya Wanita, Memperkasa Negara, hanya berlalu pergi ketika semua petugas media yang membuat liputan majlis tersebut cuba mendapatkan komennya.
“Terima kasih,” kata Wan Azizah sebelum meninggalkan petugas media di Universiti Mahsa, di sini hari ini.
Dalam wawancaranya bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Nurul Izzah meluahkan rasa kecewanya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan kerana gagal menunaikan janji serta gagal menggerakkan agenda reformasi seperti sepatutnya.
Beliau dipetik sebagai berkata: “Perlu bekerja dengan bekas diktator yang telah menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam hidup (keluarga) kami bahkan kepada sistem (pemerintahan negara), ia bukan mudah.
“Saya betul-betul mahu (usaha) mengangkat agenda reformasi menjadi fokus utama kami.”
Nurul Izzah sebelum ini membuat kejutan apabila meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setelah tidak bersetuju dengan Dr. Mahathir yang mahu mengekalkan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.
Kenyataan itu menimbulkan pelbagai reaksi balas dalam PH termasuk oleh Timbalan Presiden PKR sendiri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyindir dengan menggelarkannya sebagai ‘budak kecil yang merengek’ (cry babies).
“Apa pun halangannya, kita perlu pastikan ia berjaya. Jika tak tahan panas, tolong keluar dari dapur,” tulis Mohamed Azmin menyindir dalam akaun Twitter miliknya semalam. – UTUSAN ONLINE