KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan menghentikan usaha merubah urus tadbir Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang dilihat seolah-olah menjadi sebuah parti politik dengan melantik pegawai-pegawai baharu dalam kalangan orang parti.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu bukan sahaja membebankan institusi Islam, bahkan tidak wajar dicabuli demi memenuhi kepentingan parti politik tertentu dalam institusi tersebut.
Sehubungan itu, menurutnya, Yadim terpaksa menanggung kos emolumen tinggi dengan pengambilan ramai kakitangan baharu dalam kalangan orang parti yang dibawa masuk ke pejabat Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz.
“Setiap pegawai khususnya dengan jawatan sebagai perunding (konsultan) dibayar dengan gaji besar antara RM10,000 hingga RM12,000 seorang dan jumlah sedemikian untuk dibayar kepada beberapa pegawai yang telah ditawarkan jawatan tersebut khabarnya kos pejabat Yang Dipertua sahaja mencecah RM50,200 sebulan.
“Ini bermakna Yadim harus menanggung lebih daripada setengah juta setahun semata-mata untuk membayar gaji-gaji pegawai lantikan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE