KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu lori.
Menurut sumber, kesemua penguat kuasa itu terdiri daripada anggota dan pegawai gred 19 hingga 32.
“Mereka dijangka hadir di Pejabat SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan kira-kira pukul 9 pagi ini,” katanya di sini, hari ini.
Sabtu lalu, sebanyak 22 lagi penguat kuasa JPJ ditahan SPRM dipercayai turut terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar negeri itu
Tangkapan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah sebanyak 55 orang termasuk sembilan orang awam.
Siasatan berkenaan merupakan fasa ketiga yang dijalankan oleh SPRM susulan tangkapan dilakukan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang, minggu lalu. – UTUSAN ONLINE