KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa bimbang dengan tindakan pihak tertentu yang berani menyentuh kesucian agama Islam di samping memperlekehkan institusi diraja.
Baginda bertitah, pelbagai perkara yang berlaku di negara ini sejak akhir-akhir ini seolah-olah menggambarkan wujudnya golongan yang mahu menggugat keharmonian, keamanan dan kestabilan yang telah terbina sekian lama di Malaysia.
“Ada pihak yang berani melakukan perkara-perkara yang menyentuh kesucian agama Islam, memperlekehkan institusi diraja dan banyak lagi perkara yang berpotensi mengakibatkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Beta selaku ketua agama di negeri ini mahu pihak yang berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga supaya perkara-perkara seperti itu tidak menular di negeri ini,” titah baginda dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Sultan Mizan bertitah, kerajaan negeri yang diterajui oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar perlu terus komited berusaha memartabatkan lagi agama dan umat Islam di negeri ini menerusi gerak kerja profesional bagi menangkis sebarang fitnah dan tuduhan jahat sekali gus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam sebagai Ad-din.
Baginda turut menyatakan rasa sukacita kerana kepemimpinan Ahmad Samsuri berjaya mengamalkan budaya matang dan sejahtera sekali gus mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan wakil rakyat dengan masyarakat tanpa mengira mana-mana parti ke arah menjadikan Terengganu sebagai negeri paling harmoni di Malaysia.
“Beta menyeru supaya ketepikan politik kepartian dan berilah keutamaan kepada agenda rakyat dan pembangunan negeri. Beta ingin melihat negeri ini setaraf dengan negeri maju lain,” titah Sultan Mizan. – UTUSAN ONLINE