KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengutuk sekeras-kerasnya pelaku serangan keganasan di beberapa lokasi di Sri Lanka, semalam.
Baginda turut menzahirkan perasaan dukacita yang amat mendalam atas kehilangan nyawa dan kecederaan yang berlaku.
“Seri Paduka juga mengucapkan takziah dan simpati yang tidak terhingga kepada mangsa-mangsa jenayah tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun itu, yang disasarkan kepada orang tidak berdosa semasa sambutan perayaan Easter, iaitu ketika penganut Kristian sedang berkumpul untuk berdoa dan merayakan sambutan itu.
“Seri Paduka turut menyatakan sokongan dan solidariti Malaysia dengan mangsa-mangsa, keluarga mereka dan rakyat Sri Lanka,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini.
Yang di-Pertuan Agong juga amat yakin rakyat Sri Lanka akan terus bersabar mempertahankan kekuatan dan kemanusiaan mereka dalam menghadapi tragedi yang amat mengerikan itu.
Satu siri letupan menggegarkan beberapa lokasi iaitu Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St. Barnabas di Batticaloa di Colombo pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan, mengorbankan lebih 200 orang.
Terdahulu, pada Ahad, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam kejadian itu.