TURIN – Ajax meneruskan aksi luar biasa di pentas Eropah apabila mengejutkan Juventus 2-1 untuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara hari ini.
Selepas menumbangkan Real Madrid pada peringkat 16 akhir, Juventus menjadi mangsa terbaharu kelab Belanda itu, yang mara menerusi agregat 3-2.
Kekalahan Juventus juga melebur rekod hebat Cristiano Ronaldo biarpun bintang Portugal itu memberi permulaan sempurna buat gergasi bola sepak Itali tersebut dengan meledak gol pembukaan pada minit ke-28.
Jaringan Donny Van De Beek dan Matthijs De Ligt melengkapkan kebangkitan Ajax, sekali gus membawa mereka melangkah ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1997.
Ajax kini akan bertemu salah satu daripada dua gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City atau Tottenham yang akan berentap dalam suku akhir kedua esok.
Ajax muncul pasukan Belanda pertama mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas PSV Eindhoven pada 2005. – Agensi