KECANGGIHAN teknologi kamera litar tertutup (CCTV), kamera intip atau tersembunyi yang tujuan asalnya untuk pemantauan keselamatan boleh bertukar menjadi igauan ngeri bagi wanita apabila disalahguna lelaki psiko sebagai alat skodeng moden.
Antara kes menjadi tumpuan negara dilaporkan sebelum ini adalah membabitkan aktres terkenal Nasha Aziz dan tidak terkecuali di peringkat global contohnya di Korea Selatan ribuan wanitanya pada Oktober tahun lalu mengadakan bantahan di jalan raya bagi menuntut tindakan diambil berikutan semakin ramai menjadi mangsa kamera intip.
Pemantauan Harian Metro di laman sosial mendapati peralatan kamera intip banyak dijual dengan pelbagai bentuk seperti skru, penyangkut baju, pili air, pemegang kunci, pen, topi, cermin mata, tombol atau loceng pintu, pemetik api, malah ada diperbuat sekecil mata skru yang pastinya sukar disedari mangsa.
Kebanyakan peralatan itu buatan luar negara, khususnya dari China dijual pada harga serendah RM18 sehingga paling mahal mencecah ribuan ringgit mengikut spesifikasi tertentu.
Menurut Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, berdasarkan kes pencabulan privasi wanita diterima pihaknya berkaitan penggunaan peralatan kamera intip mendapati kebanyakan pelakunya akan meletakkan alat itu di bilik air.
“Pengintip atau orang lelaki yang suka mengintai cara moden ini gemar melihat wanita mandi atau buang air.
“Kami mendapati kes yang diterima kebanyakannya tak membabitkan pelakunya mahu mencari untung dengan menjual gambar atau video mangsa, sebaliknya hanya untuk memenuhi nafsu pengintip itu sendiri saja,” katanya.
Antara kes diterimanya membabitkan dua gadis masih menuntut di salah sebuah maktab perguruan yang mengikut rakan lelakinya bercuti di Sarawak.
Gadis itu yang menumpang di rumah rakan lelaki itu terkejut dan trauma apabila mendapati sebatang pen yang diletakkan di bilik air mempunyai kamera micro.
Kisah lain, katanya, membabitkan lima penyewa yang menjadi mangsa ‘skodeng moden’ tuan rumah apabila kamera intip diletakkan di semua bilik air dan bilik tidur.
Selain itu, tiga pelajar berusia 15 tahun sebuah sekolah swasta di ibu negara dikejutkan dengan video mereka sedang mandi tular dalam kalangan rakan sekolah, lima bulan selepas mereka mengikuti kelas renang.
“Ada juga kes kami terima terdapat unsur mengugut dan memalukan mangsa supaya mangsa tunduk dengannya. Antaranya kes sepasang kekasih yang berpisah selepas lapan tahun bercinta.
“Kehidupan mangsa menjadi tidak tenteram apabila bekas teman lelakinya memiliki rakaman tiga video mangsa sedang mandi dan mengugut disebarkan.
“Apa pun, kebanyakan mangsa didapati sukar pulih daripada tekanan perasaan selepas mengetahui privasi tubuh badan mereka dicerobohi,” katanya.
Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan mengelak menjadi mangsa diintip, seseorang boleh memeriksa kewujudan kamera intip, tersembunyi atau spycam dengan menutup suis lampu dan menggunakan kamera telefon yang dihalakan ke arah objek disyaki itu.
“Jika muncul tanda merah di paparan telefon pintar maka ia sah memiliki alat perakam video di dalamnya,” katanya. – myMetro Online