PUTRAJAYA – Arahan memusnahkan kem sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) di Wang Kelian, Perlis bukannya bagi menghapuskan bukti ekoran kejadian mengemparkan negara itu pada 2015.
Sebaliknya bekas Timbalan Ketua Polis Perlis, Mat Zukir Mat Isa menjelaskan arahan itu dibuat beliau dalam mesyuarat bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bagi mengelakkan kem berkenaan digunakan semula PATI pada masa hadapan.
“Arahan ini tidak bermaksud agar kem ini dimusnah sepenuhnya tetapi hanya sebahagian atau khemah tertentu yang boleh digunakan oleh orang lain.
“Mesyuarat ini juga dihadiri semua ketua polis daerah, pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan wakil PGA tidak memberikan sebarang bantahan dan cadangan lain susulan arahan saya ini,” katanya.
Saksi ke-13 itu berkata demikian dalam pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian di sini hari ini.
Tambah Mat Zukir yang berpangkat Asisten Komisioner ketika itu, beliau juga mengeluarkan arahan kepada Polis Daerah Padang Besar dan Jabatan Siasatan Jenayah serta Unit Forensit IPK untuk menyiasat terhadap kewujudan struktur binaan seakan kubur di kawasan terlibat.
“Dalam mesyuarat yang berlangsung pada 20 Januari 2015 itu, pada awalnya Kompeni Komandan B Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Superintenden M. Joeking hanya memaklumkan penemuan kem dan tangkapan 38 PATI.
“Walau bagaimanapun selepas diminta Superintendan Rizani Che Ismail (Ketua Polis Daerah Padang Besar ketika itu) untuk menerangkan penemuan binaan seakan kubur, barulah beliau (Joeking) memaklumkan perkara demikian,” katanya. – UTUSAN ONLINE