KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi menetapkan perbicaraan tujuh pertuduhan kes dana SRC International Sdn. Bhd. bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan bermula pukul 9 pagi sehingga pukul 3.30 petang pada bulan Ramadan.
Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas ketua pendakwaan Peguam Negara Tommy Thomas memohon mahkamah menetapkan tempoh waktu berikutan bulan Ramadan yang akan bermula Isnin depan.
Tommy mencadangkan kepada mahkamah supaya prosiding perbicaraan bermula pukul 9 pagi sehingga 3 petang bagi membolehkan mereka yang beragama Islam pulang awal untuk berbuka puasa.
Mohd. Nazlan yang mendengar cadangan Tommy itu kemudian mencadangkan supaya prosiding perbicaraan bermula lebih awal iaitu sebelum pukul 9 pagi.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pula mencadangkan supaya mahkamah berhenti rehat antara 30 hingga 45 minit.
“Mahkamah perlu mengambil kira mereka yang bukan beragama Islam yang tidak berpuasa. Jadi cadangan ialah supaya waktu rehat ditetapkan antara 30 sehingga 45 minit untuk mereka yang bukan beragama Islam makan dan pada masa sama tempoh itu turut boleh digunakan untuk yang lain menunaikan solat,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kesemua pihak Mohd. Nazlan kemudian menetapkan prosiding perbicaraan pada bulan Ramadan bermula pukul 9 pagi dan berakhir pukul 3.30 petang.
Dalam prosiding sama Tommy turut memohon tarikh perbicaraan yang sedang berlangsung kini diteruskan dan mengambil alih tarikh kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditetapkan pada 14 Mei.
Kata beliau, pihaknya bersedia menulis surat kepada Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yang akan mendengar perbicaraan kes 1MDB, berhubung perkara itu.
Muhammad Shafee bagaimanapun berkata pihak pembelaan mahu perbicaraan kes 1MDB bermula pada September.
Kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang bermula 3 April lalu sepatutnya berakhir pada 10 Mei ini dan akan bersambung pada tarikh yang belum ditetapkan.
Pada 5 April lalu, Collin menetapkan 14 hari bermula 14 Mei bagi perbicaraan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion itu.
Tarikh yang ditetapkan ialah 14, 15, 17, 28, 29 dan 31 Mei selain 10, 11, 12, 13, 14, 18, 20 dan 21 Jun. – K! ONLINE