KOTA KINABALU – DUN Sabah semalam, sebulat suara meluluskan usul tergempar menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
ADUN Karanaan, Masidi Manjun ketika membentangkan usul berkenaan berkata usul itu juga bertujuan memastikan ahli Parlimen di Sabah meneruskan usaha untuk berunding dengan pihak-pihak berkenaan bagi melaksanakan pindaan itu di Parlimen secepat mungkin.
“Usul ini adalah satu simbolik bagi negeri Sabah dalam usaha kita mendapatkan semula status Sabah sebagai rakan kongsi yang sama taraf dengan Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Pada 9 April, 1 usul dibentangkan di Dewan Rakyat untuk meminda perlembagaan bagi mengembalikan peruntukan asal yang digubal pada 1963 dan dipinda pada 1976.
“Cadangan pindaan 2019 ini bertujuan mengambalikan peruntukan asal Perkara 1(2) Perlembagaan Pesekutuan yang mengiktiraf rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia, iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sejajar dengan perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Pada 9 April lepas, Dewan Rakyat gagal mendapatkan sokongan 2/3 atau 148 undi yang diperlukan untuk meluluskan pindaan itu, yang diusulkan khusus bagi mengembalikan Sabah dan Sarawak ke status asalnya seperti termaktub dalam MA63.
Hanya 138 ahli Parlimen menyokong Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 sementara 59 orang termasuk ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak, tidak mengundi.
Masidi berkata pindaan itu seringkali diutarakan oleh pemimpin Sabah sejak satu ketika dahulu sehingga sekarang, sama ada dalam persidangan di DUN Sabah mahupun di Parlimen.
“Oleh itu saya berharap selepas ini semua ahli Parlimen dari Sabah mengambil kira suara semua ADUN di Sabah agar usaha berterusan dapat dilakukan untuk merealisasikannya,” tambahnya.