1. Berita pertukaran laluan ECRL hebah diperkatakan oleh semua pihak. Menariknya, isu geologi turut menjadi antara perbahasan pihak penyokong Pakatan Harapan dan barisan pembangkang. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sebenarnya diketuai oleh seorang “Geoscientist” yang sememangnya arif dan pakar dalam bidang kaji bumi. Kenyataan media ini merupakan pandangan professional berasaskan fakta, bukan emosi atau omong-omong kosong.
2. Antara perkara yang hebat diperkatakan adalah “Quartz Ridge” atau pun Jajaran Kuarza yang terkenal dengan nama Klang Gate Ridge, terletak di antara Gombak ke Ampang, dengan saiz 16 km panjang dan 200 meter lebar. “Quartz” ini merupakan mineral berbentuk kristal yang terdapat di dalam batuan. Laluan asal ECRL sepatutnya menghubungkan Bentong ke Gombak melalui Klang Gate Ridge ini. Sebenarnya, laluan asal tersebut tidak akan menghancurkan struktur 16 km ini kerana pembinaan terowong dilakukan dengan saiz yang minima untuk laluan tren sahaja. Ancaman sebenar kepada Klang Gate Ridge adalah pembinaan perumahan di sepanjang Gombak ke Ampang yang kian menghakis struktur geologi ini di atas permukaan bumi.
3. Terdapat juga pendapat bahawa laluan baru lebih baik kerana tidak melalui sesaran, atau “fault zone”, khususnya Bukit Tinggi Fault. Untuk pengetahuan rakyat Malaysia, laluan baru ECRL akan melalui Lebir Fault, Lepar Fault, Bentong Fault, Kuala Lumpur Fault, dan terbaru adalah Putrajaya-Seremban Fault. Oleh itu, perbahasan struktur Bukit Tinggi Fault tidak boleh digunapakai kerana laluan baru akan melalui tambahan Putrajaya-Seremban Fault.
4. Sebenarnya, rakyat Malaysia tidak perlu risau dengan pandangan “fault zone” dan gempa bumi berkaitan pembinaan ECRL. Gempa bumi hanya berlaku apabila “fault zone” diaktifkan disebabkan oleh tenaga dalam bumi yang dilepaskan. ECRL tidak akan mengaktifkan “fault zone” ini.
5. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia beranggapan bahawa laluan baru ECRL ini adalah satu langkah politik, bukanlah satu keputusan yang berteraskan faktor geologi dana lam sekitar seperti dicanang Pakatan Harapan. Kenapa pula Lynas diteruskan walhal dahulu berdemonstrasi mahu menghentikan operasi sewaktu menjadi pembangkang untuk memelihara alam sekitar? Kini laluan ditukar kerana mahu memelihara alam sekitar. Kita harap kerajaan Pakatan Harapan berhenti memberikan alasan-alasan yang mengelirukan rakyat.
Demi Bangsa Malaysia!
Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia @ Geoscientist