KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 12 sen kepada RM2.80 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada kadar RM2.08 serta RM2.18 seliter sehingga 26 April ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memberitahu, kenaikan harga RON97 bermula esok ekoran trend peningkatan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia sehingga melebihi paras AS$80 (RM331.41) setong.
Jelas kementerian itu, berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 20 April sehingga 26 April sepatutnya adalah sebanyak RM2.50 seliter serta RM2.46 seliter.
“Namun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh berkenaan dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya di sini, hari ini.